KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2023) 2024 diluluskan setelah memperoleh undian majoriti dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 di sini, hari ini.
Kelulusan RUU itu diumum oleh Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baru II, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, tambahan kewangan sebanyak RM246,073,650 akan digunakan untuk membiayai keperluan kerajaan.
“Daripada jumlah itu, sejumlah RM112,486,000 diperlukan oleh Jabatan Premier Sarawak untuk menampung sewa bangunan pejabat berjumlah RM42 juta, geran operasi Kolej Universiti i-CATS berjumlah RM30 juta dan geran operasi Universiti Teknologi Sarawak berjumlah RM19.2 juta.
“Sejumlah RM9.24 juta juga akan digunakan untuk geran operasi Tabung Gagasan Anak Sarawak (TEGAS), perkhidmatan pengurusan fasiliti untuk pejabat kerajaan sebanyak RM6.04 juta dan geran kepada Yayasan Sarawak berjumlah RM6 juta,” jelasnya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak memberitahu sebanyak RM78 juta diperuntukkan untuk Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak bagi persediaan Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024, RM16.04 juta lagi kepada Kementerian Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti untuk menganjurkan Para SUKMA 2024 dan RM15.59 juta untuk persiapan atlet Para SUKMA Sarawak 2024.
Ia termasuk penyaluran RM8 juta kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak bagi tujuan dana fasiliti bagi warisan, seni dan budaya manakala RM7 juta lagi kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Sarawak bagi kerja-kerja penyelenggaraan sistem perparitan utama di seluruh negeri.
Selain itu, RM5,358,650 diperlukan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk Skim Pinjaman Rumah Panjang dan persidangan dan lawatan sambil belajar ke luar negara dan RM3.585 juta diperuntukkan kepada Kementerian Pengangkutan Sarawak bagi tujuan persidangan dan lawatan sambil belajar ke luar negara.